Ehem, Gambar Muslimahkah Ini?
July 13th, 2008 July 13th, 2008 Posted in Religion3 Comments
MUQADDIMAH
Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia
maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan
melihat sesetengah weblog muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat,
tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing.
Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah
sekalian, namun, sayangnya, anda terlupa bahawa gambar yang anda
posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat
dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!
MUSLIMAH & GAMBAR : ADA APA DENGANNYA?
Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat
kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan
sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut
sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia
melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum? Muslimahku, Dunia
internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin
berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari.
Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras
firman Allah dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada
orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka
(daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang
demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam
pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan. ”
Namun, kita harus akui, bahawa di kalangan jutaan orang itu, ada yang
hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat
terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup. Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma
setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi
kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera
yang sama kerosakan yang dibawanya, penyakit hati.
Alangkah
malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak
rasa di jiwa insan bernama lelaki, yang beriman akan beristighfar dan
memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya, akan mula mengganggu anda.
Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda, dengan tujuan memiliki anda….
Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda
terpampang besar di internet! Gambar adalah bayangan realiti. Namun
mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks
dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda,
anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan
tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!
PENYELESAIANNYA….
Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri
anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan
menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan
orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak
syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang
terhadap andakah? Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu.
Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing
yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya
niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah
secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam
jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada
rakan muslimah anda itu.
Ingat, wajah anda, anugerah Allah.
Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja…
Wallahu A’lam..
Wanita solehah, Itulah sebaik-baik hiasan…
Dipetik dari:
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1043





